CALON BUKAN ISLAM
KEDUDUKAN NON-MUSLIMSEBAGAI CALON PILIHANRAYA.
MUKADIMAH.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد...
Segala puji bagi Allah S.W.T., tuhan yang mencipta manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak bertujuan untuk berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Dialah tuhan yang mencipta manusia dengan tabiat-tabiat semula jadi, hitam dan putih, kerinting dan lurus, cantik dan hodoh, semata-mata membuktikan bahawa manusia bukan dicipta oleh manusia.
Selawat dan salam, ke atas nabi junjungan yang membawa petunjuk ilahi dan rahmatnya melalui agama yang suci daripada ilahi. Bukan untuk bangsa arab sekalipun baginda daripada bangsa tersebut, bukan untuk kepentingan Quraish sekalipun baginda daripada keturunan tersebut. Tetapi agama ini adalah untuk semua, sama ada bangsa arab atau bukan arab, sama ada berkulit hitam atau berkulit putih, sama yang tinggal di hulu atau yang tinggal di hilir, sama ada yang dilahirkan di timur atau di barat, utara atau selatan.
Justeru Islam adalah agama untuk kebahagian semua, tidak kira sama ada muslim atau non muslim. Perundangan dan sistem Islam bukan dicipta oleh manusia, bahkan perundangan dan sistemnya telah wujud sebelum wujudnya manusia itu sendiri justeru sumbernya adalah al-Quran yang merupakan kalam Allah S.W.T. yang qadim, tiada permulaan. Realiti ini merupakan jaminan bagi ketulenan Islam daripada di pengaruhi oleh unsur-unsur kemanusiaan.
Di dalam adat manusia secara umum, realitinya tiada perkongsian kuasa dengan mereka yang tidak sealiran dengan mereka. Lihat sahaja negara komunis, mereka tidak akan memberikan peluang kepada mereka yang berfahaman demokrasi untuk turut sama di dalam pentadbiran mereka. Sama juga dengan negara demokrasi, mereka tidak akan memberikan peluang lansung kepada mereka yang berfahaman komunis untuk terlibat sama di dalam pentadbiran negara mereka. Golongan majoriti yang menjadi pemerintah juga tidak akan berkongsi kuasa dengan golongan minoriti. Tiada satupun negara-negara di dunia sekarang yang berkongsi kuasa atau memberikan kuasa kepada umat Islam yang menjadi minoriti dalam negara mereka.
Agama Islam adalah agama yang bermula daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar perkara termasuklah juga sistem pemerintahan negara. Jika Islam mencapai kemenangan, adakah orang-orang bukan Islam boleh mencorakkan negara Islam yang majoritinya adalah orang Islam? Sebagaimana negara-negara yang bukan Islam, apabila sesuatu bangsa atau fahaman menjadi majoritinya, maka bangsa dan fahaman lain yang minoriti tidak diberikan peluang untuk mencorakkan negara tersebut. Orang Islam yang menjadi minoriti di Amerika sebagai contoh, tidak boleh menuntut kerajaan rusia menjalankan hukum hudud, tidak boleh mendesak kerajaan menghapuskan riba, sama sebagaimana di negara-negara barat dan lain-lainnya. Jika sistem pemerintahan negara demokrasi tidak membenarkan orang berfahaman komunis mencorakkan polisi negara mereka, untuk apa kita merasa hairan jika kita akan dapati natijahnya kajian ini, orang yang bukan Islam tidak dibenarkan memegang portfolio-portfolio penting yang boleh mencorakkan polisi negara Islam. Ini kerana, Islam bukan seperti agama-agama lain yang berbentuk ritual, tetapi Islam adalah agama yang terkandung di dalamnya sistem pemerintahan negara. Oleh sebab itu, Islam bertembung dengan sistem pemerintahan demokrasi, bertembung dengan sistem pemerintahan komunis, kerana ia juga adalah sistem pemerintahan negara. Tidak sama dengan agama lain, ia tidak bertembung dengan sistem demokrasi dan sistem komunis kerana ianya bukan sebagai sistem negara, tetapi ianya adalah agama yang hanya berbentuk ritual sahaja. Dalam realiti yang tenggelam ini, dalam keadaan umat Islam kehilangan model negara Islam, persoalan-persoalan berkenaan perkongsian kuasa adalah sesuatu yang banyak menjadi tanda tanya. Terutamanya penglibatan non-muslim sebagai calon di dalam pilihanraya bagi mewakili parti Islam. Di sana terdapat banyak pendapat-pendapat ulama semasa berkaitan isu ini. Ada yang datang daripada berbagai-bagai negara sama ada demokrasi ala-Amerika, demokrasi ala-komunis, hatta ulama-ulama yang berada di dalam negara yang masih bersistemkan monarki ala-demokrasi. Justeru itu, ada yang mengharuskan secara mutlak, ada yang mengharamkan secara mutlak, ada yang menganggap kedudukan Wakil Rakyat di dalam negara demokrasi sama sebagaimana kedudukan Wizarah al-Tanfiz dalam sistem khalifah.
Dalam merungkaikan jawapan kepada persoalan ini, kita perlu merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W. Untuk mencapai hakikat ini, kita perlu memahami apakah garis panduan nas yang menjadi kayu ukur kepada ulama-ulama dahulu dan sekarang. Adalah tidak tepat untuk mengambil natijah tanpa mendalami alasan-alasan syara' yang diketengahkan oleh mereka, kerana kadangkala natijahnya berlainan tetapi nas dan sebabnya adalah sama. Hal ini sama seperti hukum menembak burung ciak menggunakan senapang (بندقية), ulama dahulu mengharamkan secara mutlak tetapi ulama sekarang mengharuskannya. Sekalipun natijahnya berlainan, tetapi hakikatnya sama, iaitu kembali kepada syarat ketajaman senjata yang digunakan justeru peluru senapang di zaman dahulu tidak bersifat tajam dan peluru senapang sekarang adalah sebaliknya. Perlu difahami, kertas ini mengskopkan perbahasan hukum sama ada harus atau sebaliknya. Ia tidak mengskopkan sama ada wajar atau tidak, sesuai atau tidak sesuai dan maslahah atau tidak maslahah. Sama seperti ulama terdahulu membahaskan berkenaan hukum memakan zirafah dari sudut hukum sama ada harus atau tidak. Bagi yang berpandangan harus tidaklah bermakna wajib memakannya. Terpulang kepada individu tertentu sama ada ingin memakannya atau tidak. Sama dengan topik ini, perbahasannya ialah, sama ada harus atau tidak melantik bukan Islam sebagai calon pilihanraya bagi pihak parti Islam dalam konteks malaysia. Jika kita berpendapat harus, maka keharusan itu tidak mewajibkan mengambil bukan Islam sebagai calon. Justeru itu, perbahasan hukum sama ada harus atau tidak perlu diserahkan kepada ulama dan mereka-mereka yang berkelayakan untuk membahaskannya. Seterusnya, jika keputusannya adalah harus, maka terpulang kepada peringkat akar umbi dan anggota parti untuk membahaskan sama ada wajar atau tidak, perlu atau sebaliknya melantik orang bukan Islam mewakili parti Islam di dalam pilihanraya di Malaysia.
Dua sudut ini (hukum dan kewajaran) perlu diasingkan supaya perbincangan dari sudut keperluan dan kewajaran tidak dianggap sebagai hukum yang putus oleh umum di dalam parti. Metodologi yang perlu digunakan bagi menghuraikan persoalan mencalonkan non-muslim bagi pihak parti Islam adalah seperti berikut:
1. memahami sistem pemerintahan khilafah dan dalil kepada pandangan ulama dahulu berkaitan penglibatan non-muslim di dalam sistem khilfah.
2. memahami nas dan hujah yang dikemukakan oleh ulama dahulu dan sekarang.
3. membuat pengkategorian dan analisa berkenaan kedudukan sebenar wakil rakyat dan kesannya kepada umat Islam dalam kontek negara Malaysia.
Terpenting untuk mencapai natijah sebenar dalam realiti kita ialah mengetahui hakikat dan kedudukan sebenar Wakil Rakyat dalam konteks pemerintahan dan sistem di Malaysia terutamanya dari sudut bidang kuasa, cara perlantikan dan kesannya ke atas umat Islam. Ini berdasarkan kepada kaedah usul:
الحكم على شيء فرع عن تصوره
Maksudnya: Hukum sesuatu perkara bergantung kepada gambarannya yang sebenar (hakikat perkara tersebut).
Daripada sini, kita berkemungkinan akan menemui natijah yang berlainan dengan sebahagian ulama, tetapi dalil dan alasannya adalah sama. Semoga kajian ini dapat memberikan sumbangan kepada perjuangan Islam.
- Haji Zaharuddin Muhammad.
BAHAGIAN SATU.
STRUKTUR PEMERINTAHAN DI ZAMAN KHALIFAH DAN PERBANDINGANNYA DENGAN MALAYSIA.
PEMBAHAGIAN PORTFOLIO DI DALAM SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM YANG LAMPAU.
Khalifah tidak mampu menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T. seorang diri dan terpaksa melantik pembantu-pembantu beliau. Pembantu-pembantu yang dianggap sebagai wakil khalifah dalam pengurusan Negara diwujudkan bagi melicinkan pentadbiran kerajaan sebagaimana menurut Imam Mawardi.( ) Beliau telah membahagikan bidang kuasa wakil kepada Khalifah kepada empat bahagian:( )
1. Penguasaan umum di dalam tugas-tugas umum : golongan yang memegang jawatan ini digelar sebagai wuzara' atau menteri-menteri. Mereka digelar dengan gelaran ini (wuzara') kerana perkataan wuzara' bererti memikul, iaitu memikul sebahagian tugas Khalifah secara umum tanpa terdapat skop dan pengkhususan.( )
2. Penguasaan umum di dalam tugas-tugas khas: golongan yang memegang jawatan ini dikenali sebagai Amir atau Gabenor sesuatu kawasan dan negeri. Mereka mempunyai kuasa umum tetapi terbatas setakat sesuatu wilayah dan kawasan yang berkaitan sahaja.
3. Penguasaan khusus di dalam tugas-tugas umum: golongan ini terdiri daripada Ketua Qadhi, Ketua Tentera, Penjaga Sempadan, Pengutip Zakat dan lain-lain. Mereka diberikan kuasa khas (kuasa tertentu) untuk dilaksanakan terhadap orang ramai.
4. Penguasaan Khusus di dalam tugas-tugas khas: Mereka seperti Qadhi kawasan atau negeri, Pengutip Zakat di sesuatu kawasan atau negeri dan lain-lain. Mereka mempunyai tugas khusus di tempat-tempat yang khusus.
TUGAS-TUGAS PENGUASA.
1. KEMENTERIAN. الوزارة
Para sahabat nabi adalah pembantu-pembantu kepada nabi S.A.W. di dalam menguruskan Negara. Perkara ini berterusan di zaman pemerintahan Khulafa' Al-Raasyidin dan di zaman pemerintahan Umawi. Di zaman Abbasiah, istilah الوزارة atau kementerian diguna pakai. Imam Al-Mawardi menerangkan di dalam kitabnya الأحكام السلطانية berkenaan tugas-tugas kementerian. Beliau membahagikan kepada dua bahagian: iaitu Wizarah Tafwidh dan Wizarah Tanfiz.
1. Wizarah al-Tafwidh: golongan yang memegang portfolio ini adalah orang yang diberikan kuasa oleh khalifah untuk mentadbir urusan-urusan negara mengikut pandangannya serta melaksanakan sesuatu perkara berpandukan kepada ijtihadnya. Berpandukan ikhtisas dan syarat-syaratnya, Wazir al-Tafwidh dianggap pemimpin yang berkuasa penuh (ولاية عامة) dalam kerajaan yang menjalankan pentadbirannya mengikut budi bicara dan ijtihad serta memiliki segala kuasa yang dimiliki oleh Khalifah kecuali di dalam tiga perkara sahaja.( ) Seterusnya Wazir al-Tafwidh bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan khalifah di atas setiap tindakannya. Meskipun dengan kuasa yang luas itu, khalifah masih berkuasa penuh ke atas kerajaan kerana pada asalnya amanah pemerintahan ini hanyalah diserahkan kepada khalifah sahaja. Seliaan khalifah ke atas setiap tindakan Wazir al-Tafwidh adalah untuk mengelakkan polarisasi kuasa.( ) Berdasarkan kuasa dan pengaruh besar yang terdapat pada Wazir al-Tafwidh, Imam al-Mawardi meletakkan syarat-syarat kelayakan untuk memegang portfolio ini sama seperti syarat untuk memegang jawatan khalifah kecuali syarat berbangsa Quraish.
2. Wizarah al-Tanfiz: golongan yang memegang portfolio ini hanyalah mempunyai kuasa untuk melaksanakan segala arahan khalifah dan kerajaan sahaja. Ia tidak memiliki sebarang kuasa pentadbiran yang boleh mentadbir berdasarkan budi bicara sendiri seperti Wazir ini hanya berperanan sebagai perantaraan di antara khalifah dan rakyat yang mewartakan perintah kerajaan kepada rakyat dan menyampaikan pula kehendak rakyat kepada kerajaan. Berdasarkan kedudukan seperti ini, maka syarat Wazir al-Tanfiz tidak terlalu ketat, bahkan syarat-syaratnya hanyalah berkaitan dengan akhlak dan pengalaman seperti amanah, bercakap benar, tidak tamak haloba, profile yang baik dengan masyarakat, ingatan yang kuat, pintar dan tidak mengikut hawa nafsu.Menurut Imam al-Mawardi dan Abu Ya'la, terdapat kelonggaran dari segi syarat Wazir al-Tanfiz di antaranya ialah jawatan ini boleh dijawat oleh individu bukan beragama Islam.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah ditegaskan bahawa jika dilihat dari segi perlantikannya, kedua-dua jawatan tersebut merupakan pembantu kepada khalifah bagi menguruskan pentadbiran kerajaan. Namun begitu, jika ditinjau pula dari segi ikhtisas dan kuasa, Wazir al-Tafwidh merupakan menteri berkuasa penuh sementara Wazir al-Tanfiz tidak memiliki sebarang kuasa untuk mengeluarkan perintah, apatah lagi terlibat di dalam membuat keputusan dan penggubalan polisi kerajaan bersama-sama khalifah. Kuasa yang beliau miliki hanyalah kuasa terbatas (ولاية خاصة).( ) Malah menurut Imam Ahmad al-Mubarak, pengertian sebenar wazir atau menteri mengikut ertikata yang sebenar tidak terdapat pada Wazir al-Tanfiz menurut pengertian yang dihuraikan oleh al-Mawardi dan Abu Ya'la.( ) Berdasarkan syarat-syarat di atas, dapatlah dinyatakan bahawa syarat Islam merupakan pra syarat utama bagi setiap jawatan kerajaan. Ulama bersepakat bahawa pemegang jawatan-jawatan yang berkuasa penuh seperti jawatan Khalifah dan Wazir al-Tafwidh mestilah beragama Islam begitu juga dengan Wazir al-Tanfiz. Namun begitu, al-Mawardi dan Abu Ya'la memberikan kelonggaran kepada syarat Wazir al-Tanfiz dengan membolehkan orang bukan Islam menjawat jawatan tersebut. Sebagai kesimpulannya, ruang penglibatan bukan Islam hanya berlaku di dalam jawatan Wazir al-Tanfiz bukannya Khalifah dan Wazir al-Tafwidh.
2. AMIR ATAU GABENOR KAWASAN DAN NEGERI.
Kawasan pemerintahan Islam semakin meluas di zaman Saidina Umar al-Khattab yang menyebabkan berlaku pembahagian pentadbiran yang besar. Negara Syam dibahagikan kepada dua bahagian wilayah dan kawasan, Parsi dan Afrika dibahagikan kepada tiga wilayah dan kawasan. Setiap wilayah dan kawasan ini diperintah oleh seseorang yang digelar Amir atau Wali atau Gabenor. Di zaman Bani Umayyah, perluasan kawasan Islam berlaku dengan lebih pesat. Dan orang-orang Arab masih berpegang dengan sistem ini disamping berlaku beberapa perubahan kecil di dalam pentadbiran. Perkembangan ini menyebabkan para Fuqaha' di zaman itu membuat kajian-kajian (ijtihad) baru berkenaan tabiat dan hakikat wilayah-wilayah dan kawasan-kawasan baru bagi meletakkan hukum-hakam berkaitan dengannya. Justeru itu, para fuqaha terdahulu meletakkan pembahagian wilayah dan kawasan ini kepada dua bahagian, iaitu al-Imarah al-'Aammah (الإمارة العامة) dan al-Imarah al-Khaassah (الإمارة الخاصة). Adapun al-Imarah al-'Aammah ia beerti penguasaan penuh seseorang Amir atau Gabenor terhadap wilayah atau kawasan tertentu, sama ada penguasaan dari sudut keamaan, pertahanan, penghakiman dan urusan kewangan. Adapun al-Imarah al-Khaassah, kuasa Amir atau Gabenor terhad kepda bidang-bidang tertentu. Imam al-Mawardi mengkhusukan bidang kuasanya terhadap hal ehwal keamanan dan pertahanan. Apa yang perlu diperhatikan ialah, al-Imarah (الإمارة) atau pemerintahan kawasan dan negeri di zaman awal Islam adalah adalah pemerintahan berkuasa penuh dan tidak berpusat. Kemudian bentuk ini mula berubah sedikit demi sedikit disebabkan perluasan kawasan pemerintahan Islam dan perkembangan pengurusan dan pentadbiran Negara. Di zaman Saidina Umar sebagai contoh, pada peringkat awal beliau melantik Amru bin al-'Aash sebagai penguasa penuh (الإمارة العامة) di Mesir. Kemudian, Khalifah Umar telah melantik Abdullah bin Abi Sarah untuk mengutip kharaj. Kemudiannya Khalifah Umar melantik pula Kaab bin Suar sebagai Qadhi bagi menyelesaikan pertelingkahan rakyat. Akhirnya, bidang tugas Amru bin al-Aash hanya tertumpu kepada pengurusan askar dan imam solat.( ) Imam Sayuti menyebut, syarat kelayakan untuk menyandang jawatan Amir atau Gabenor wilayah dan negeri ini sama sebagaimana syarat untuk menyandang jawatan Wazir al-Tafwidh.( ) Justeru itu, Islam adalah pra syarat utama untuk perlantikan Amir atau Gabenor wilayah atau negeri yang berada di bawah pemerintahan Islam.
Sambung .......bahagian kedua.....jangan ketinggalan...
No comments:
Post a Comment